Saturday, October 29, 2016

Jenis atau Macam Pantai

[ Pinggir pantai tenggelam <-> Pinggir pantai timbul ] 


Pinggir pantai boleh dibahagi kepada dua jenis yang utama yaitu : 
  1. Pinggir pantai tenggelam - Ini terbentuk akibat penenggelaman kawasan daratan atau naiknya aras laut. Di antara pantai jenis ini termasuklah pinggir pantai ria, pantai fiord, pantai muara dan pantai dalmatia atau pinggir laut membujur. 
  2. Pinggir pantai timbul - Ini terbentuk akibat penimbulan bumi atau penurunan aras laut. Pinggir pantai jenis ini tidak banyak terdapat dan digambarkan oleh pinggir laut pamah timbul dan pinggir laut tanah tinggi timbul. 

Pinggir Pantai Tenggelam... 

1. Pinggir Pantai Ria Ais banyak yang tersimpan pada zaman ais dahulu. Sebahagian besar ais ini mencair apabila iklim berubah menjadi lebih panas. Sebagai akibatnya, air laut semakin bertambah banyak dan aras laut pun bertambah tinggi. Di setengah-setengah kawasan, aras laut ini dianggarkan naik hampir 90 meter tingginya. Di pinggir-pinggir laut tanah tinggi, gunung-ganangnya menganjur lalu membentuk sudut tepat dengan laut, iaitu melintang atau menganjur ke pinggir laut. Jadi aras laut yang naik akan menenggelamkan kawasan-kawasan lurah yang rendah lalu membentuk anak-anak teluk bercabang yang panjang serta sempit yang diceraikan oleh tanjung-tanjung tinggi. Bentuk ini berbeza dari bentuk fiord tentang dua segi yang penting. Bentuk ini tidak mengalami hakisan glasier dan semakin dalam hala ke laut. Pinggir laut ria merupakan sifat yang biasa bagi pinggir laut jenis Atlantik seperti yang terdapat di barat laut Perancis, barat laut Sepanyol, barat daya Ireland, Devon dan Cornwall. Pantai Ria biasanya membelakangkan kawasan-kawasan pergunungan dan oleh kerana itu tidaklah banyak pelabuhan-pelabuhan perdagangan yang terdapat di sini walaupun kawasan perairannya dalam dan boleh melindungi kapal-kapal yang berlabuh. Sungguhpun begitu kawasan-kawasan ini telah digunakan dengan luasnya untuk pelabuhan perikanan dan pangkalan angkatan laut seperti di Plymouth dan Brest. 


2. Pinggir Pantai Fiord
Pantai Fiord merupakan lekukan hakisan glasier berbentuk U yang telah tenggelam. Fiord menandakan jalan yang diikuti oleh glasier yang turun dari kawasan tanah tinggi. Tebing-tebingnya curam dan biasanya naik terus dari laut. Fiord mempunyai cawangan-cawangan yang bercantum dengan anak-anak teluk utamanya mengikut sudut tepat. Hakisan ais yang terlalu kuat menyebabkan fiord ini dalam di sebelah pedalaman. Bahagian arah ke lautnya cetek kerana di sini terdapat sebuah permatang batuan yang dinamakan tubir. Di luar kawasan fiord banyak terdapat pulau atau pulau kecil. Pulau-pulau kecil ini adakalanya 60 meter sahaja dalamnya dan menyebabkan pelayaran di pinggir laut sukar jika terdapat pula tubir cetek. Hampir semua pinggir laut fiord terletak di kawasan garis lintang yang lebih tinggi di kawasan-kawasan hawa sederhana yang pernah mengalami tindakan glasier. Contohnya terdapat di Norway, Alaska, British Columbia, Chile Selatan dan Pulau Selatan New Zealand. Setengah-setengah fiord yang besar sangatlah panjang dan dalam pula. Umpamanya, Fiord Sogne di Norway panjangnya 177 km, 6 km lebar dan dalamnya hampir 1220 meter di bahagian tengahnya. Walaupun kawasan perairannya dalam dan terlindung tetapi pelabuhan-pelabuhan besar tidaklah banyak di sini. Latar belakangnya yang bergunung-ganang dan dengan jalan ke pedalamannya yang sukar menyebabkan kawasan ini tidak menarik hati untuk pembangunan dan petempatan. Usaha-usaha pertanian hanya terhad kepada kawasan-kawasan kipas delta yang telah terbina di kawasan-kawasan sungai yang turun mengalir ke fiord. Beberapa bandar yang ada di sini menjadi pusat perikanan ataupun pusat pemasaran. Misalnya Trondheim hanya penting di kawasan itu sahaja. 


3. Pinggir Pantai Dalmatia 
Pinggir pantai ini mempunyai sistem pergunungan yang selari dengan pantai. Nama ini berpunca dari pinggir pantai Dalmatia di Yugoslavia yang terletak di sepanjang Laut Adriatic. Di sini pinggir laut yang tenggelam menghasilkan anak teluk yang panjang serta sempit, dengan rangkaian-rangkaian pulau yang selari dengan pinggir laut. Pulau-pulau yang memanjang ini sebenarnya merupakan kemuncak banjaran-banjaran gunung lama, dan selat-selat sempit itu pula merupakan lurah-lurahnya yang memanjang. Jenis pinggir pantai Dalmatia ini juga merupakan sifat yang biasa terdapat di pinggir laut Pasifik di mana banjaran-banjaran gunungnya selari dengan pantai. Contohnya ialah pinggir laut barat Amerika Utara dan Selatan tetapi pinggir laut di sini lebih lurus keadaannya. Seperti dengan pinggir-pinggir pantai fiord dan ria keadaannya yang bergunung-ganang menyebabkan perhubungan dengan kawasan pedalaman sukar dilakukan. Kawasan ini mempunyai pelabuhan-pelabuhan yang dalam dan terlindung. Sungguhpun demikian pelabuhan-pelabuhan yang baik tidak terdapat di sini. Walaupun begitu terdapat juga beberapa buah pelabuhan penting di pinggir-pinggir laut Pasif ik. 


4. Pinggir Pantai Muara 
Di kawasan tanah pamah tenggelam, kuala-kuala sungai telah tenggelam. Dengan itu terbentuklah muara-muara yang berbentuk corong. Muara-muara ini boleh menjadi tapak bina pelabuhan yang baik jikalau jalan masuknya tidak terhalang oleh beting pasir. Umpamanya muara-muara Sungai Thames, Eibe dan Plate telah menjadi tapak bina pelabuhan-pelabuhan yang besar seperti London, Hamburg dan Buenos Aires. Pelabuhan ini menjadi lebih baik kalau ada pengaruh pasang surut. Bahkan kalaupun ada terdapat pemendapan kelodak di sini jentera-jentera pengorek moden dapat membuka pelabuhan-pelabuhan ini sepanjang masa. 



Pinggir Pantai Timbul...

1. Pinggir pantai tanah pamah terangkat
Rusuk benua yang terangkat menjadi sebuah kawasan tanah pamah pinggir laut yang bercerun landai. Air di luar pinggir lautnya cetek dan mengandungi lagun, paya masin dan kukup. Pantai dan bukit pasir laut akan terjadi jikalau timbunan yang timbul dari pelantar benua itu terdiri daripada pasir dan batu kelikir. Pelabuhan-pelabuhan yang dahulunya terletak di pinggir laut sekarang ini telah menjadi bandar di pedalaman. Antara contoh tanah pamah pinggir pantai timbul termasuklah kawasan tenggara Amerika Syarikat, Finland Barat, Sweden Timur dan sebahagian daripada pinggir laut Argentina yang terletak di sebelah selatan Rio de La Plata. 


2. Pinggir pantai tanah tinggi timbul
Gelinciran dan gerakan bumi mungkin menaikan dataran tinggi pinggir pantai dan menghasilkan bentuk-bentuk penimbulan. Pinggir laut terangkat merupakan bentuk yang terkemuka kerana kawasan ini tidak dapat lagi dipengaruhi oleh tindakan ombak, tetapi tetap mempunyai sifat-sifat lamanya seperti gerbang laut, batu tunggul dan bentuk-bentuk pinggir pantai yang lain. Pinggir Iaut tanah tinggi terangkat ini boleh dikatakan lurus dan mempunyai tebing tinggi yang curam dan kawasan perairan luar pantai yang dalam. Keadaan ini wujud kerana ombak-ombak masih belum dapat menghakis kawasan-kawasannya yang lemah ataupun membina pelantar hakisan ombak di situ. Kawasan ini tidak berguna untuk dijadikan pelabuhan yang baik. Contoh-contoh pinggir laut tanah tinggi timbul terdapat di Scotland, pinggir laut barat Deccan di India dan pinggir laut barat Arab yang menghadap Laut Merah.

0 komentar:

Post a Comment

 

Pilar Wawasan Copyright © 2024